Tuesday, April 26, 2011

Permata Citra Hatiku...

Salam..
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi dengan limpah kurnia dan rahmatNya, isteriku Haslinda Bt. Dzulkefli telah selamat melahirkan anakku  pada 14 April yang lalu. Genap kandungan 9 bulan, 10 hari isteriku mengandungkan anak sulungku dan tepat jam 8.48 pagi di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, isteriku telah selamat melahirkan seorang anak perempuan. Berita gembira ini tak dapat aku gambarkan dengan kata-kata, hanya laungan Azan dan Qamad dapat ku bisikkan di telinga anakku tanda bersyukur atas kelahiran seorang puteri yang seiras ibunya. Pada mulanya terketar-ketar jugak tangan aku memegang seorang bayi yang comel untuk ku kendong buat pertama kalinya. Dalam hatiku takut jugak nak pegang dia sebab badannya kecil sahaja iaitu berat semasa lahir 2.55kg sahaja. Tp isteriku cakap ‘takpe papa, pegang je..’. Aku kuatkan semangat dengan lafaz bismillah aku angkat perlahan-lahan anakku di tanganku. Hampir menitis air mataku melihat wajahnya yang kemerah-merahan dan dengan mata yang terkebil-kebil memandangku. Lama juga aku perhatikan matanya, cantik matanya seiras ibunya juga. Tersenyum aku melihatnya, rupa anakku memang seiras ibunya, dari segi mata, hidung, mulut memang saling tak tumpah seperti ibunya sendiri. Ya Allah, sungguh aku bersyukur atas anugerah yang di Kau berikan. Jika semasa isteriku masuk ke Dewan Bersalin seawal jam 6 pagi, perasaan takut, resah, risau semua ada masa aku menunggu di luar. Tetapi bila menatap wajah anakku, hilang segala perasaan itu. Aku rasa seperti batu besar yang diletakkan atas bahu ku terus hilang apabila melihat senyuman anakku.  Hati lelaki atau suami mana yang tak gembira melihat anak kandungnya sendiri, lahir dengan selamat dan sempurna sifatnya. Lagi-lagi kalu rupanya ada iras-iras diri kita sendiri.
Bila selesai je Azan dan Qamat, aku mengucapkan tahniah dan terima kasih yang teramat sangat kepada isteriku. Betul kata orang, semasa seorang perempuan itu hendak bersalin seumpama nyawa berada di hujung tanduk, bertarung nyawa untuk melahirkan seorang umat Nabi Muhammad. Semasa isteri dalam keadaan sakit hendak bersalin, waktu itu didalam Dewan Bersalin aku sempat menjenguknya seketika sekitar 5 minit. Aku berikan peransang, aku berikan semangat agar isteriku kuat dan mampu menghadapi saat-saat paling menyakitkan bagi seorang yang bakal bergelar seorang ibu. Aku lihat keadaan isteriku cukup terseksa, tapi apa yang mampu aku lakukan. Hanya solat hajat yang dapat aku lakukan selepas berjumpa dengan isteriku, aku berdoa agar dipermudahkan dan meringankan kesakitan yang dialaminya. Dan kira-kira 8.48 pagi, aku dikhabarkan berita oleh Jururawat yang bertugas disitu bahawa isteriku telah selamat bersalin. Aku diminta untuk mengazankan anakku sendiri, mengikut sunnah nabi, sebaik-baiknya bapa kandung mengazankan sendiri agar perkataan pertama yang didengarinya ialah kalimat kebesaran Allah yang maha esa. Dan secara rasminya ku namakan puteri sulungku itu dengan nama Qisya Nur Maisara Binti Muhammad Shahril.
Maksud nama anakku :
                Qisya                     :               Hidup dalam keadaan baik
                Nur                        :               Cahaya
                Maisara                  :               Kebahagian, Kemakmuran, Kekayaan dan Keamanan.
Dan apabila digabungkan bermaksud ‘Hidup dalam keadaan yang baik diseliputi kebahagian, kemakmuran, kekayaan dan keamanan.. Walau apapun yang orang katakan tentang nama anakku, aku dan isteri amat menyukai nama tersebut dan memberi makna yang besar kepadaku sekeluarga. Senang disebut, manja bunyinya dan mempunyai makna yang baik. Syukur Alhamdulillah, setakat artikel ini ditulis anakku berada dalam keadaan yang baik. Cuma kalu menangis dan meragam sedikit waktu malam itu adalah perkara biasa terutama bila nak menyusu. Bagi seorang bayi, menangis ialah cara untuk memberitahu ibubapanya yang dia lapar dan haus...
Namun begitu, aku terlebih dahulu mohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan gambar-gambar anakku kerana aku mempunyai pendirian sendiri. Bagi aku, aku tak mahu merampas hak anakku hanya semata-mata nak memuaskan hati orang lain. Aku tidak akan upload gambar anakku ke Facebook atau dalam blog buat sementara waktu ini, akan datang insyallah. Jika mahu melihat anakku, pintu rumahku terbuka luas untuk semua hadir dan datang. Bagiku,biarlah kita berbalik kepada cara yang lama, kunjung mengunjung dan secara tak lansung mengeratkan tali ikatan silaturrahim. Dengan cara itu aku menghormati hak anakku sendiri dan aku yakin rakan-rakan, saudara mara dapat memahami pendirian aku ini.
Akhir kata Terima kasih aku ucapkan kepada semua rakan-rakan aku dan isteriku yang selalu mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan aku sekeluarga. Juga tidak lupa kepada kedua ibubapaku dan ibubapa mertuaku yang banyak berkorban untuk kebahagiaan kami. Juga kepada adik-beradik samaada adik beradik kandung atau ipar duai, terima kasih aku ucapkan. Jasa dan budi kalian semua tidak akan kami lupakan selama-lamanya.
Tidak lupa juga jutaan terima kasih yang tak terhingga aku ucapkan kepada semua Jururawat dan para Doktor yang bertugas dan menyambut anakku di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Baru ku tahu betapa sukar dan susahnya menjadi seorang jururawat dan doktor ini, apatah lagi bila bertugas di bahagian wad bersalin. Sungguh mulia dan besar pahalanya. Terima kasih kepada Puan Zalina Bt. Kamaludin, jururawat yang menyambut kelahiran Qisya dan Doktor-doktor yang menyambut dan merawat isteriku. Maaf kerana tidak mengingati nama Doktor sekalian,namun Jutaan Terima Kasih aku ucapkan kepada semua pihak yang terlibat. Allah sahaja yang mampu membalas budi anda semua.
Jutaan terima kasih aku ucapakan sekali lagi.
Kita berjumpa lagi di lain kali di mycerita..